KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefley Ahmad tidak dapat menahan sebak apabila mendengar berita kematian seorang pesakit di Parlimen Tenom, Sabah ekoran tidak mampu mendapatkan rawatan dialisis kerana kesempitan wang.
Riduan ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di peringkat jawatankuasa menceritakan kisah seorang pesakit dialisis terpaksa menghentikan rawatan kerana kos yang tinggi.
“Ada seorang pesakit tidak lagi mampu untuk meneruskan rawatan kerana tidak mampu menanggung kos rawatan dan perjalanan lalu membiarkan diri mereka begitu sahaja sehingga meninggal dunia,” kata Riduan.
Lantaran itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula penarikan pengecualian caj dialisis bagi memastikan pesakit diberikan hak untuk menerima rawatan terbaik.
Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2025 di peringkat jawatankuasa petang tadi, Dzulkefly berkata, beliau akan mempertimbangkan permintaan Riduan bagi membina lebih banyak pusat dialisis di Tenom.
“(Ahli Parlimen) Tenom telah menceritakan kepada kita ada rakyatnya akhirnya meninggal dunia. Fasiliti dialisis bukan sahaja sukar didapati tetapi tidak mampu dibayar, dengan hanya caj RM80 pada setiap sesi.
“Mungkin itu pun tidak mampu dibayar, dan dengan kos pengangkutan yang meningkat akhirnya memilih untuk tidak meneruskan dialisis dan berakhir dengan kematian,” katanya sambil menahan sebak beberapa kali hinggakan sesi penggulungan beliau terhenti beberapa kali.
Dzulkefly berkata, caj dialisis kepada rakyat yang tidak berkemampuan adalah tidak wajar dikenakan, kalau akhirnya dibayar dengan nyawa.
“Tenom menceritakan pelbagai permintaan seperti klinik yang dibariskan dengan keseluruhannya saya kira pastinya layak untuk dipertimbangkan dengan serius,” katanya. – MalaysiaGazette