TANJUNG MALIM – Empat cedera termasuk anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Besar Sungkai, dekat sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 10.16 malam.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya jentera bersama anggota di tempat kejadian kita mendapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Persona (kenderaan jabatan) TLDM dan Toyota Vios.
“Seramai tiga mangsa ditemukan dalam Proton Persona, seorang tersepit di bahagian pemandu manakala dua lagi cedera di bahagian kaki dan badan.
“Hanya seorang mangsa yang menaiki Toyota Vios cedera manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.
“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berkata, ksemua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan susulan dan operasi tamat sepenuhnya pukul 11.30 malam. – MalaysiaGazette