ISKANDAR PUTERI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengenal pasti 26 sekolah di Johor yang mempunyai kesukaran pelaksanaan solat Jumaat atas beberapa faktor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak 15 sekolah dikenal pasti di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan bakinya bawah JAINJ.
“Menerusi mesyuarat dan sesi libat urus berhubung permasalahan itu, Jabatan Mufti Johor mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah terbabit.
“Sebanyak 15 buah sekolah dibawah JPNJ dan sejumlah 11 buah sekolah di bawah JAINJ dari pelbagai daerah mengalami sedikit kesukaran.
“Sekolah yang terlibat telah memohon kebenaran jabatan mufti agar surau sekolah mereka atau surau kariah yang terletak berhampiran dengan sekolah mereka dinaiktaraf menjadi Surau Jumaat.
“Ia membabitkan sekolah yang jaraknya melebihi radius 3 kilometer (km) dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah yang tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan untuk murid murid menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar.
“Jabatan Mufti Johor telah memutuskan beberapa kriteria pelaksanaan Solat Jumaat di sekolah kepada Pejabat Kadi Daerah dan mereka hendaklah memastikan kesemua kriteria utama permohonan tersebut telah dipatuhi.
“Seterusnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan membuat keputusan berkenaan dengan permohonan tersebut sama ada wajar diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat atau sebaliknya sebelum sesi persekolahan bermula pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian menjawab soalan Abdul Aziz Talib (Pas-Maharani) mengenai langkah terkini dan persediaan kerajaan negeri Johor bagi memudahkan pelaksanaan solat Jumaat kepada pelajar-pelajar sekolah dan umat Islam di negeri Johor bermula 1 Januari 2025.
Menurut Mohd Fared, Dasar Kebenaran Solat Jumaat itu memerlukan pemohon untuk mendapatkan dahulu sokongan dari Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau berdekatan, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Islam Daerah dan Kadi Daerah.
Katanya pemohon juga perlu memastikan tempat yang dicadangkan itu memenuhi hukum syarak.
“Iaitu berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 12 orang jemaah lelaki baligh yang bermastautin dari kalangan kakitangan, pelajar atau ahli kariah, bukan dewan terbuka yang boleh mencemarkan kesucian tempat tersebut dan bukanlah tempat yang dicampur adukkan dengan program dan aktviti-aktiviti sekolah yang tidak selari dengan hukum syarak.
“Walaubagaimanapun, bagi kawasan yang memiliki beberapa sekolah yang bersebelahan antara satu sama lain, hanya satu sekolah yang memiliki kriteria boleh membuat permohonan dengan disertakan sokongan sekolah yang berhampiran,” ujarnya.
Memperincikan secara lanjut, Mohd Fared berkata, kriteria yang perlu dipenuhi ada dua bahagian iaitu bahagian kemudahan dan pentadbiran.
Katanya pentadbiran sekolah perlu mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau dengan mencadangkan kakitangan yang berkelayakan sebagai Pegawai Surau (Imam dan Bilal) yang perlu mendapat tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Jawatankuasa Fatwa akan memutuskan sama ada permohonan sekolah itu diterima atau tidak. Bagi surau sekolah yang diterima, Jawatankuasa Fatwa sahaja yang boleh memutuskan sama ada surau sekolah itu dinamakan sebagai Surau Jumaat atau Musolla Jumaat.
“Bagi surau Jumaat, pelaksanaan solat lima waktu dan aktiviti pengimarahan surau hendaklah dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau Sekolah sebagaimana Surau Jumaat yang lain.
“Musolla Jumaat pula, kebenaran hanyalah untuk Solat Jumaat sahaja yang mana pelaksanaannya hendaklah dipertanggungjawabkan kepada pentadbiran sekolah tertakluk pada arahan MAINJ melalui Kadi Daerah,” katanya.
Pada Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula daripad Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pandangan JAlNJ.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan membabitkan lebih 4.1 juta rakyat negeri itu termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja. – MalaysiaGazette