KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan keikhlasan DAP berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan selepas beberapa pemimpin parti itu enggan melepaskan mana-mana kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, pendirian tegas DAP itu bercanggah dengan semangat setiakawan antara parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, ia juga memberi gambaran seolah-olah DAP masih memandang rendah terhadap BN serta hanya bekerjasama secara paksa dengan parti itu semata-mata untuk kepentingan politik DAP.
Apa yang menyedihkan, tambahnya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang lebih bersifat cadangan itu diperlekehkan oleh Ahli-ahli Parlimen DAP secara terbuka tanpa dibincang di peringkat lebih tinggi.
“Lebih mengecewakan, tiada seorang pun pemimpin pusat DAP yang menyangkal kenyataan tersebut, seolah-olah mereka turut bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh Ahli-ahli Parlimen DAP Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Konvensyen BN Wilayah Persekutuan Ahad lalu, membuat ketetapan untuk mengekalkan tiga kerusi kepada BN untuk bertanding iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, parti itu menyasarkan untuk bertanding lima kerusi Parlimen di WP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mewakili Kerajaan Perpaduan, namun akan membincangkan perkara itu dengan rakan parti lain.
Susulan kenyataan Ahmad Zahid itu, beberapa Ahli Parlimen DAP di Wilayah Persekutuan seperti dilaporkan portal berita bertegas tidak akan melepaskan kerusi mereka kepada mana-mana parti lain pada PRU-16.
Sementara itu, Mike Chong yang juga Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan mengingatkan DAP yang mana BN pernah membantu parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini secara ikhlas kerana mahu mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.
“BN hanya meminta 5 daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan sahaja.
“Jika DAP masih angkuh, maka usah marah jika BN mempertimbangkan untuk bertanding di kesemua 13 kerusi di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 kelak,” katanya. – MalaysiaGazette