VILNIUS – Jerman khuatir terdapat kemungkinan pembabitan luar dalam nahas pesawat kargo, DHL di lapangan terbang ibu negara Lithuania yang mengorbankan satu nyawa, semalam.
Ketika pihak berkuasa berhenti mengaitkan tragedi itu dengan beberapa siri kes sabotaj, beberapa minggu lalu para pegawai Lithuania menyiasat dakwaan teradapat peralatan letupan diletakkan dalam pesawat kargo.
Pesawat yang berlepas dari Leipzig, Jerman terhempas kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Vilnius itu merempuh beberapa bangunan, menurut polis dan syarikat logistik, DHL.
Gambar di lokasi kejadian memaparkan serpihan pesawat, bungkusan yang sedang terbakar bertaburan di kawasan kediaman.
“Setakat ini, tiada tanda-tanda atau bukti yang mencadangkan nahas ini disabotaj atau dilakukan tindakan pengganas,” kata Menteri Pertahanan Lithuania, Laurynas Kasciunas kepada pemberita sambil menambah, siasatan mungkin mengambil masa kira-kira seminggu.
Ketua Jabatan Keselamatan Negara, Darius Jauniskis berkata, ketika negara Baltik mengalami ‘peningkatan serangan Rusia dan tidak boleh mengenepikan kes pengganas… kami tidak boleh menuding jari’.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock berkata,’kini kita secara serius perlu bertanya pada diri sendiri sama ada ini adalah kemalangan atau sama ada ia insiden hibrid’.
Pada kebiasaannya, terma hibrid merujuk kepada serangan yang tidak menggunakan taktik ketenteraan konvensional seperti sabotaj infrastruktur atau serangan siber.
Sejak Rusia menyerang Ukraine pada 2022, negara-negara Eropah sering menggunakan terma itu bagi menggambarkan tindakan yang mereka percaya berpunca dari Moscow.
Terdahulu di Berlin, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius berkata, tiada dapatan yang menyatakan terdapat bahan letupan dalam pesawat tersebut yang menyebabkan kemalangan berlaku.
Menurut polis, pesawat tersebut tergelincir beberapa ratus meter lalu merempuh bangunan kediaman, bangunan kecil dan kereta yang menyebabkannya terbakar.
Anggota bomba berkata, salah seorang daripada empay kru penerbangan itu terkorban dan seorang berada dalam keadaan kritikal.
Pada awal bulan ini, Lithuania melakukan operasi sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah mengaitkan penghantaran peralatan yang mempunyai bahan letupan ke negara Barat.
Menurut media Poland dan Lithuania, peralatan yang meliputi peralatan urut elektrik yang mana didalamnya terdapat bahan mudah terbakar dihantar dari Lithuania ke Britain pada Julai lalu yang mungkin merupakan punca kebakaran sebuah lori di Warsaw.
Pada bulan lalu, polis anti- UK berkata, mereka menyiasat bagaimana sebuah bungkusan meletup di sebuah depot pada tahun ini selepas kes yang sama berlaku di Jerman dengan menuduh Rusia terlibat. – AFP