Ting Han ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) akan menjadi platform utama dalam melaksana pelbagai program pembangunan modal insan di Johor dengan fokus yang lebih tersasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, ini termasuk program Pro-Mahir yang diletak bawah JTDC khususnya dalam menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ).

Beliau memberitahu, bagi menyokong pelaksanaan insentif itu, sebanyak RM20 juta sudah diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 November lalu.

“Dana ini akan disalurkan melalui HRD Corp, sebuah entiti yang bertanggungjawab dalam pengurusan pembangunan tenaga kerja untuk memastikan pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran dapat dijalankan secara holistik dan efektif.

“JTDC akan menjalankan kajian dan analisis terhadap keperluan industri di JS-SEZ untuk memastikan program latihan yang ditawarkan selaras dengan permintaan pasaran.

“Agenda utama di bawah JTDC adalah untuk memastikan bahawa peluang pekerjaan yang ditawarkan pemain industri di Johor bukan sahaja mencukupi, tetapi berkualiti tinggi dengan pakej gaji yang kompetitif dan manfaat yang menyeluruh.

“Ini bertujuan untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik serta memastikan tenaga kerja di Johor memenuhi standard global,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Ting Han (BN-Paloh) berkata demikian menjawab soalan Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) yang bertanyakan adakah kerajaan negeri merancang sebarang program latihan atau kursus peningkatan kemahiran khusus bagi rakyat Johor untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam JS-SEZ.

Ting Han berkata, dana tersebut akan digunakan untuk menawarkan pelbagai kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri di JS-SEZ.

Inisiatif itu katanya, diharap dapat memberi kesan besar kepada ekonomi Johor dengan memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat langsung daripada pembangunan pesat JS-SEZ.

“Pada masa yang sama, ia juga berperanan dalam mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan memperkukuh daya saing Johor sebagai hab ekonomi yang maju di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai Program Pro-Mahir katanya, pengisiannya menekankan pembangunan kemahiran insan seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah bagi melahirkan pekerja serba boleh.

Sejak diperkenalkan menurut Ting Han, Program Pro-Mahir berjaya melatih 3,500 peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta.

“Program ini telah memberi manfaat kepada rakyat Johor daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang baru memasuki pasaran kerja dan yang ingin beralih bidang kerjaya serta golongan memerlukan peningkatan kemahiran untuk kekal relevan dalam industri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here