Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan membidas Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) kerana merujuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ahli Parlimen Kampar dari Pakatan Harapan, Chong Zhemin berkata, Presiden MCA itu telah membuat kerja-kerja pembangkang.

“Sejarah Parlimen tidak pernah ada Ahli Parlimen kerajaan yang menggunakan peraturan 36 (12) untuk merujuk menteri Kabinet sendiri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Wee Ka Siong adalah Ahli Parlimen kerajaan pertama yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) ke atas menteri.

“Sehingga hari ini tidak ada seorang ahli pembangkang yang guna peraturan ini ke atas menteri Kabinet, jadi mengapa Wee Ka Siong nak buat kerja-kerja pembangkang,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Tidak habis dengan itu, Zhemin berkata, Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam boleh berkata apa namun kenyataan hansard di Dewan Rakyat jelas menunjukkan beliau ada merujuk Rafizi ke jawatankuasa berkenaan.

“Dia boleh kata dia tidak ada niat tapi dia sudah pakai peraturan ini dan mengembalikan usul berkenaan dan dihantar ke Speaker,” katanya.

Pada 12 November lalu, Zhemin mengemukakan usul supaya Ka Siong dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana membuat sangkaan jahat terhadap Rafizi.

Ia susulan kenyataan dibuat Ka Siong pada sidang Dewan Rakyat 7 November lalu yang mendakwa Rafizi memberikan dua jawapan berbeza berhubung peruntukan membangunkan Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu RM85 juta dan RM31 juta.

Bagaimanapun, Zhemin berkata, usul berkenaan telah ditolak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Zhemin memberi alasan Ka Siong telah melanggar peraturan 36(6) dan 36(12) dengan mengelirukan Dewan Rakyat dan membuat sangkaan jahat terhadap Menteri Ekonomi yang kononnya memberi data salah serta dua angka berbeza tentang kos PADU.

Peraturan Mestyuarat 36 (12) adalah merujuk kepada perbuatan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis.

Maka mana-mana ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan tersebut.

Pada awal bulan ini, Ka Siong di Dewan Rakyat menuntut Rafizi memberi penjelasan mengenai dakwaan kesilapan fakta kos pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ka Siong berkata, dia terkilan kerana Rafizi menuduhnya berbohong apabila menggunakan data ‘tidak betul’ untuk kos pembangunan PADU.

Menurut Ka Siong, data dan laporan yang diperolehinya berhubung kos peruntukan Padu tidak hanya melalui media rasmi kerajaan malahan portal rasmi PKR, Suara Keadilan.

Sementara itu, beliau turut mendakwa Rafizi sudah mengakui fakta kos Padu itu ‘salah’ dan ia diberikan oleh pegawainya.

Pada 6 November lalu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, Rafizi menafikan kos pembangunan Padu sebanyak RM85 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata, perbelanjaan setakat September 2024 menunjukkan kos pembangunan dan pelaksanaan Padu RM31 juta dengan beberapa pecahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here