KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan angka siling bagi pekerja asing bekerja di Malaysia adalah 2.58 juta orang.
Jelasnya, angka tersebut belum lagi mencecah siling pekerja asing yang dimuktamadkan bagi 2024.
“Sekarang ini pas lawatan kerja yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pekerja asing cuma tinggal defisit lebih kurang 400,000 sebelum mencecah 2.58 juta.
“Ia masih kurang, ada dua kategori pekerja asing iaitu rendah (3D) iaitu kait buah sawit, susun bata di sektro pembinaan, dan pegawai ekspatriat adalah 120,000 orang,” demikian menurut Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sejumlah 120,183 pegawai ekspatriat dari luar negara direkodkan berada di negara ini sehingga Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, China mencatatkan kemasukan tertinggi dengan 27,460 pegawai ekspatriat.
Kedua, India (23,131); Filipina (9,302); Jepun (8,739); Indonesia (8,333) dan lain-lain negara adalah 36 peratus daripada 120,183 orang.
Kelima-lima negara itu meliputi 64 peratus daripada keseluruhan pegawai ekspatriat di negara ini.
Jelas Saifuddin lagi, terdapat tiga kategori pegawai ekspatriat dengan kategori pendapatan iaitu RM10,000 ke atas, RM5,000 hingga RM9,999 ke atas dan RM3000 hingga RM4,999.
“Malaysia Productivity Corporation mengangkat angka sumbangan atau impak ekonomi keberadaan pegawai ekspatriat di negara kita ialah RM75 bilion, menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan KDNK negara.
“Kayu ukur yang kedua adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengumpul sehingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok ini,” jelas Saifuddin lagi. – MalaysiaGazette