GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membabitkan isu pusat jagaan warga emas, Silver Jubilee Home (SJH).
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon memutuskan kenyataan dibuat Kon Yeow yang didakwa memfitnah Kok Ping sebenarnya adalah fakta dan tidak dibuat dengan niat jahat.
“Kenyataan Kon Yeow mengenai keperluan tender kerana SJH bukan dimiliki kerajaan negeri tetapi sebuah organisasi awam dan bukan harta peribadi Kok Ping adalah kenyataan fakta.
“Dapatan saya kenyataan yang dipertikaikan tidak mengandungi maksud fitnah atau sindiran seperti dituntut.
“Saya mendapati pembelaan keadilan, ulasan adil dan keistimewaan yang berkelayakan telah berjaya dibuktikan,” katanya dalam keputusan penghakiman melalui aplikasi Zoom.
Tambah Chew Soon, kenyataan Kon Yeow itu harus dibaca dalam konteks penuh sidang medianya bukan secara berasingan.
“Kenyataan Kon Yeow diukur dan tertumpu pada isu tadbir urus yang berkaitan dengan SJH bukannya serangan peribadi,” katanya.
Mahkamah turut mengarahkan Kok Ping membayar RM50,000 kepada Kon Yeow sebagai kos.
Media sebelum ini melaporkan Kok Ping pada Disember tahun lalu memfailkan saman terhadap Kon Yeow berhubung kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Cina. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: