KUALA LUMPUR – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea berjaya menjana potensi pelaburan sebanyak RM32.8 bilion dan potensi eksport sebanyak RM1.3 bilion untuk Malaysia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Potensi pelaburan merangkumi sektor-sektor kimia, automotif termasuk kenderaan elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, serta teknologi hijau seperti
teknologi pemerangkapan, dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen/ammonia hijau.
Bagi potensi eksport pula, produk yang bakal diimport oleh Korea dari Malaysia termasuk minyak sawit, bahan bakar bio, produk makanan serta bahan kegunaan industri francais (seperti sarung tangan industri).
Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, potensi pelaburan dan eksport ini telah berjaya dijana dari enam sesi pertemuan bersama syarikat-syarikat utama ROK yang telah diaturkan oleh kementerian ini, antara syarikat-syarikat tersebut adalah Hyundai Motor Company, OCI, Samsung Group, SK Group, POSCO Group dan Lotte International Co. Ltd.
Menurutnya, Korea merupakan rakan perdagangan yang penting dan salah satu pelabur yang utama di Malaysia.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dalam pelbagai bidang baharu dan berpotensi tinggi seperti otomotif, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri halal, pembuatan maju
dan kecerdasan buatan (AI), terutamanya dengan hubungan diplomatik dinaif taraf ke Kerjasama Strategik.
“Kerjasama ini akan membolehkan kita merebut peluang baharu dan seterusnya mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sepanjang misi tersebut, sebanyak 50 program padanan perniagaan yang diaturkan telah membolehkan syarikat Malaysia dan Korea membina kerjasama dan kolaborasi perniagaan pada masa hadapan.
MITI berkata, lawatan dua hari dari 24 November itu turut mengadakan Forum Perniagaan Malaysia-Korea dengan penyertaan 210 peserta, mewakili 147 syarikat Korea dari pelbagai industri seperti semikonduktor, perlombongan, teknologi kewangan (fintech), aeroangkasa, bahan kimia, dan makanan.
Mengambil kesempatan ini, Menteri MITI juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga (MOTIE)
Korea, Cheong Inkyo untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk status rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) yang dijangka dimuktamadkan
pada tahun hadapan.
Kedua-dua Menteri turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan Korea dalam bidang promosi perdagangan, komunikasi maklumat dan teknologi serta hidrogen dan pembangunan bandar pintar.
Malaysia dan Korea mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh serta dinamik sepanjang dekad yang lalu. Bagi sepuluh bulan pertama tahun ini, prestasi
perdagangan global Malaysia menunjukkan daya tahan yang membanggakan, dengan peningkatan sebanyak 9.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Dalam tempoh ini juga, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea mencapai RM91.11 bilion (AS$19.84 bilion), terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.8% berbanding
tempoh yang sama pada tahun 2023.
Meskipun begitu, Korea tetap kekal sebagai salah satu daripada sepuluh rakan dagang utama Malaysia.
Dari segi pelaburan asing pula, Korea adalah salah satu negara sumber pelabur terpenting dalam sektor pembuatan sejak tahun 1980.
Sehingga Jun 2024, jumlah nilai pelaburan dengan penyertaan Korea yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 399 projek bernilai RM43.9 bilion (AS$11.7 bilion) dan telah mewujudkan sebanyak 49,234 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah pelaburan tersebut, sektor pembuatan melibatkan 392 projek bernilai RM43.1 bilion (USD11.5 billion) manakala sektor perkhidmatan melibatkan
7 projek bernilai RM800 juta (AS$183.3 juta). – MalaysiaGazette