KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini sejumlah 25,120 laman sesawang melibatkan pelbagai kesalahan telah disekat sehingga 1 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan kepada statistik itu, kesalahan judi dalam talian adalah laman sesawang paling banyak disekat setakat ini.
“Selain itu 7,846 bagi laman lucah dan jelik, 3,476 bagi pelanggaran hak cipta, 563 bagi pelacuran, 544 bagi penipuan atau pelaburan yang menyalahi undang-undang dan 2,844 bagi lain-lain laman sesawang memudaratkan dan merbahaya.
“Tindakan sekatan terhadap laman sesawang tersebut diambil bagi melindungi pengguna dan seterusnya menyediakan persekitaran internet yang selamat kepada masyarakat,” jawab Fahmi dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).
Jelas Fahmi lagi, kaedah sedia ada yang digunakan untuk sekatan tersebut adalah melalui sekatan Domain Name System (DNS) atau DNS Blocking di peringkat penyedia perkhidmatan internet dalam negara.
Kaedah itu akan berfungsi sekiranya pengguna menggunakan konfigurasi automatik yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan internet.
“Tetapi terdapat pengguna yang mengubah konfigurasi DNS untuk melangkau sekatan berkenaan yang mendedahkan mereka kepada kandungan terlarang.
“Sehubungan dengan itu, sebagai langkah bagi mempertingkatkan keberkesanan tindakan sekatan tersebut, trafik DNS diarahkan semula menggunakan konfigurasi asal.
“Pelaksanaan pengalihan trafik DNS adalah berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan serta libat urus membabitkan penyedia perkhidmatan internet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette