KUALA LUMPUR – Bermula 1 hingga 8 Disember ini, Malaysia menjadi tuan rumah penganjuran Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-10.
Kejohanan sebelum ini telah diadakan di Taiwan pada 2017.
“Kejohanan itu diambil alih pada saat-saat akhir dari Iran yang sepatutnya menganjurkannya pada pertengahan Oktober lalu dan Jawatankuasa APDG meminta Malaysia mengambil alih kejohanan itu memandangkan situasi yang tidak menentu di Iran selain terdapat negara-negara peserta yang mula menarik diri,” kata satu kenyataan.
Ekoran itu, Malaysia sebagai tuan rumah hanya mempunyai kira-kira dua bulan sahaja bagi membuat persediaan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan.
Sebaik sahaja Malaysia mengambil alih sebagai tuan rumah, beberapa negara yang sebelum ini menarik diri telah menyatakan persetujuan untuk menyertai APDG ke-10.
Pada masa ini sebanyak 24 negara peserta termasuk Malaysia akan menyertai APDG ke-10.
Selain itu, penganjuran kejohanan ini juga sebagai persediaan untuk Malaysia menjadi sekali lagi tuan rumah APDG pada tahun 2028.
Pada pengajuran kali ini, sebanyak sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, bola sepak, judo, taekwondo, catur, boling, ping pong dan wrestling dan ia melibatkan penyertaan lebih 1,130 atlet. – MalaysiaGazette