Nageshvaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kemalangan maut

JOHOR BAHRU – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri, 16 November lalu.

S Nageshvaran, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memandu sebuah Perodua Alza dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 170 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian seorang pembonceng motosikal, Linda Mohd A Aziz.

Tertuduh juga didakwa memandu kenderaan sama dengan kandungan alkohol sama dalam badan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Mohd Rusdi.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang, pukul 4.15 pagi 16 November lalu.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh diwakili K Sarawanakumar.

Pegawai Pendakwa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.

Bagaimanapun peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua dan sakit selain empat adik beradiknya.

“Tertuduh menanggung kesemua ahli keluarganya dengan gaji sebagai mekanik hanya RM2,000 sebulan malahan ini adalah kesalahan pertamanya,” kata peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari ini untuk serahan dokumen.

Pada 16 November lalu, Mohamad Redzwan, 37, dan isterinya, Linda, 35, dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pasir Gudang, pukul 4.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.

Katanya, kemalangan berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

Nahas membabitkan motosikal jenis Honda Vario dengan kereta Perodua Alza itu menyebabkan pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Insiden berkenaan mengakibatkan lima anak pasangan terbabit, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk mereka, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 dan neneknya, Ramlah Kasiran, 56. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here