KUALA LUMPUR – Pembangkang menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merombak Kabinet dengan menukar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Gesaan itu dibuat Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kerana Kor Ming tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan dan permasalahan yang dibawa semua ahli Parlimen dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kami perhati menteri mengambil masa sehingga lapan minit untuk menceritakan kejayaan kementeriannya. Kemudian masa yang berbaki itu beliau tidak menjawab sebahagian besar apa yang ahli Parlimen bangkitkan. Baik dari sebelah pembangkang mahupun kerajaan, tidak sentuh isu-isu yang dibangkitkan.
“Kita percaya menteri macam nak mengelak untuk menjawab. Memang dia boleh untuk beri jawapan bertulis tetapi sepatutnya jawab secara lisan (terlebih dahulu). Perbahasan peringkat jawatankuasa adalah perbahasan yang terperinci. Jadi sepatutnya jawab terus isu dibangkitkan.
“Saya rasa kerajaan patut rombak semula Kabinet. Perdana Menteri patut tukar Menteri KPKT kepada orang lain. Lantik Timbalan Menteri menjadi Menteri pun tiada masalah, lagi bagus. Mungkin Perdana Menteri melawat luar negara lama, jadi menteri pun buat perangai seperti ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media itu adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan).
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata pihaknya kecewa dengan tindakan itu kerana Kor Ming gagal menjawab isu dan permasalahan yang dibawa ke Dewan Rakyat.
“Ini amat mengecewakan kami di blok pembangkang untuk menjawab kepada rakyat. Apabila dia buat begini, saya setuju dengan cadangan Alor Setar untuk rombak semula Kabinet.
“Kalau sebelum ini saya meminta Menteri MOTAC ditukarkan tetapi saya rasa hari ini saya minta Menteri KPKT pun ditukarkan atas dasar tiada tanggungjawab,” katanya dalam sidang media sama.
Semalam, Mas Ermieyati membidas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kenyataan itu memalukan dan tidak mencerminkan diri King Sing sebagai menteri. – MalaysiaGazette