ISKANDAR PUTERI – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals, telah berjaya menyempurnakan operasi penampungan (bunkering) metanol pertama yang melibatkan kapal kontena berkuasa dwi-bahan api daripada Maersk.
Kapal kontena tersebut, Antonia Maersk merupakan kapal ketiga daripada 18 jumlah keseluruhan kapal kontena generasi baru berkuasa dwi-bahan api yang dimiliki oleh syarikat gergasi perkapalan dari Denmark, yang mampu belayar menggunakan bahan api metanol.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, dalam kenyataan media berkata, operasi penampungan metanol dari kapal ke kapal kontena tersebut merupakan kejayaan
terbaharu PTP kerana pertama kali ianya dilakukan PTP.
“Kejayaan operasi ini adalah langkah penting dalam misi PTP untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan
kami sebagai pelabuhan pilihan utama di rantau ini.
“Kejayaan operasi penampungan metanol ini menunjukkan kesediaan dan keupayaan PTP untuk mengendalikan operasi yang melibatkan bahan api alternatif marin, dan membuka jalan sebagai perintis penyelesaian bahan api alternatif yang pelbagai,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman turut memuji kerjasama antara PTP, Maersk dan Kerajaan Malaysia, yang berjaya menetapkan piawaian jelas dalam operasi, terutamanya dalam memudahkan perkongsian pengetahuan, pembangunan infrastruktur, dan keupayaan penampungan bahan api alternatif tersebut.
“Sebagai persediaan untuk operasi penampungan metanol ini, PTP bekerjasama rapat dengan Maersk, Maersk Oil Trading, Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor, dan pelbagai agensi kerajaan.
“Kami menjalankan latihan dan sesi bengkel, mewujudkan prosedur keselamatan yang ketat melalui penilaian operasi dan risiko yang komprehensif, pemodelan dan pengesahan; membawa kepada latihan penempatan,” katanya.
Tahun ini, PTP telah berjaya mencipta rekod operasi baharu yang luar biasa dengan kajayaan mencatatkan kendalian lebih satu juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena selama enam bulan berturut-turut, bermula pada Mei hingga Oktober tahun ini.
Selain itu, pada 22 September 2024, juga melepasi rekodnya sendiri dengan mengendalikan sebanyak 14,036 pergerakan kontena dalam satu syif 12 jam.
PTP juga telah diiktiraf sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) terkini 2023 dan berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan paling sibuk di dunia. – MalaysiaGazette