GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mengkaji cadangan untuk mewartakan cuti perayaan Deepavali kepada dua hari di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cuti hari Deepavali hanya diwartakan selama satu hari sahaja buat masa ini.
“Akta Hari Kelepasan 1951 Semenanjung Malaysia telah memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri menetapkan suatu hari untuk diterima sebagai hari kelepasan am bagi negeri.
“Buat pada masa ini, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mewartakan cuti peristiwa negeri untuk Hari Deepavali kedua sebagai cuti tambahan namun kita sedia terima cadangan untuk mengkaji perkara tersebut,” katanya.
Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan K. Kumaran (PH-Bagan Dalam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. – MalaysiaGazette