Lokasi nahas maut melibatkan seorang pelajar tingkatan empat selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta ketika memotong kenderaan lain di Jalan Tambak Paya-Ayer Molek, Melaka malam tadi.

MELAKA – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta dalam nahas di Jalan Tambak Paya-Ayer Molek, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek, Muhammad Faiz Amran, 17, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC ketika itu dalam perjalanan dari arah Tambak Paya menghala ke Ayer Molek.

Mangsa pelajar sekolah, Muhammad Faiz Amran, 17, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Kemalangan berpunca apabila remaja itu dipercayai cuai ketika memotong sebuah kenderaan lain sehingga gagal mengelak sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah bertentangan.

“Akibatnya, mangsa bertembung dengan kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun itu menyebabkannya cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast