Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin. - Foto: FB Muhammad Nasrun

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (WP) mengingatkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) WP mengelakkan naratif yang boleh memecah-belahkan kerjasama politik sedia ada susulan kontroversi pembahagian kerusi Parlimen WP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Penerangannya, Nasrun Nasaruddin berkata, sebarang kenyataan yang tidak berasaskan fakta hanya akan menimbulkan salah faham dan merugikan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Tegas beliau, Pemuda UMNO WP kekal konsisten dengan perjuangan mengutamakan rakyat, memastikan kestabilan politik dan mengukuhkan gabungan yang telah diamanahkan untuk mentadbir negara.

“Kami tidak akan terjebak dengan politik remeh yang hanya bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar.

“Jangan gunakan isu perpaduan ini sebagai alat bantuan pernafasan pemilihan parti kamu yang menjelang tiba, nanti disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan AMK WP yang berikrar tidak akan memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi Parlimen yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Tambah Nasrun, BN dan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah membentuk satu persefahaman kukuh berasaskan prinsip keterangkuman dan saling menghormati.

Menurutnya, setiap keputusan termasuk pengagihan kerusi akan dibuat secara kolektif melalui perbincangan rasmi, bukannya berdasarkan spekulasi atau kenyataan bersifat provokasi.

Berhubung tambahan kerusi Parlimen WP yang dibangkitkan pemimpin BN sebelum ini, jelas Nasrun, ia bergantung kepada keputusan meja rundingan yang akan diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar beliau, perkara itu juga sejajar dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang melibatkan gabungan BN-PH.

Dalam masa sama, jelasnya, pertimbangan itu turut mengambil kira ruang dan peluang kepada parti komponen BN khususnya MCA dan MIC untuk terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara.

“BN sentiasa menjunjung prinsip kesaksamaan dan memastikan semua komponen diberikan peluang yang adil dalam perjuangan politik bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here