KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati MARA Inc telah melakukan pembelian hartanah yang terlebih nilai di dua buah negara.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dua hartanah itu adalah Beaumont House di London, United Kingdom pada 2014 dan Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street masing-masing di Melbourne, Australia pada 2013 juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
“Namun KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) telah merayu dan perkara ini telah dibawa kepada Majlis Ekonomi, yang kemudiannya memberi kelulusan pada tahun 2013.
“Kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini, masih dalam perbicaraan mahkamah.
“Perkara berkenaan merupakan antara penemuan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini,” jelas Mas Ermieyati dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, PAC mengesorkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) dan MARA Inc memastikan cadangan pelaburan sama ada dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset yang bernilai tinggi seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan memberi keutamaan dalam pelaburan domestik.
“Cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MOF (Kementerian Kewangan) terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang.
“Penemuan dan syor PAC berhubung Pengurusan MARA Inc adalah hasil daripada tiga prosiding yang telah diadakan pada 30 Julai 2024, 31 Julai 2024 dan 19 September 2024,” katanya.
Setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk dirakamkan keterangan oleh PAC antarnaya Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Roslan Abu Bakar; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf; Pengarah Perancangan Korporat Kumpulan MARA Corp, Datuk Amir Azhar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Mohd Fadzil Mohd Idris.
Sementara itu, PAC berpendapat tindakan MARA Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015 adalah langkah yang seharusnya tidak berulang.
Justeru itu, jawatankuasa tersebut mengesyorkan KKDW, MARA, MARA Corp dan MARA Inc perlu memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat. – MalaysiaGazette