Suasana kehidupan harian komuniti pelarian Rohingya ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

AMPANG – “Sini bukan lagi Pandan Mewah, tapi jadi Pandan Warga Asing’, itu luahan penduduk tempatan yang tidak senang dengan kebanjiran warga Rohingya, Bangladesh, Myanmar, dan Indonesia di kawasan itu sejak sekian lama.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, enam daripada 12 blok perumahan murah di kawasan itu dihuni warga asing yang tidak diketahui status mereka termasuk dalam kalangan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Secara mata kasar, jumlah mereka cukup ramai di kawasan ini kerana mereka ini berada di mana-mana di kawasan ini sehingga ‘menenggelamkan’ penduduk tempatan.

MalaysiaGazette yang membuat tinjauan selama seminggu di kawasan ini mendapati mereka bukan sahaja menyewa di sini bahkan  turut menjalankan perniagaan kedai-kedai runcit.

Bukan sahaja di kedai runcit, bahkan, mereka bebas membuka meja dan menjadi penjaja secara terang-terangan

Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat kerana pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya tidak kurang dua kilometer dari kawasan ini.

Warga asing menguasai kawasan lapang di blok kediaman di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

Seorang penduduk tempatan, Nurul Shahidah Bahar, 29, berkata, dia dan keluarganya menetap di kawasan itu lebih 30 tahun namun selepas 2021, keadaannya menjadi semakin membimbangkan.

Katanya, aspek keselamatan dan gejala sosial yang berlaku melibatkan warga asing terutama Rohingya bagaikan tiada kawalan lagi hingga berani mengancam penduduk tempatan.

“Dulu kawasan ini tidaklah dipenuhi warga asing, suasana sini masih ok lagi, tapi sekarang teruk sangatlah, blok A1 hingga A6 itu memang dipenuhi orang mereka termasuk kedai di bawah.

“Mana-mana tapak kosong pun mereka akan masuk, kita ini rasa macam menumpang dekat negara orang pula sampai mereka jadi ‘gengster’, tidak boleh ditegur ditambah ada yang ‘menjaga’.

“Setiap kedai di blok situ, bahagian depan jual sireh tapi di belakangnya ada ‘black market’. Mereka ini pun makan sireh ludah merata tempat, ada yang berani ludah sebelah kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Warga asing yang menjaja secara terang-terangan di blok perumahan pangsa di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

Nurul Shahidah yang enggan gambarnya dirakam atas sebab-sebab keselamatan berkata, di sebelah siang kawasan blok A1 hingga A6 akan kelihatan seperti pasar karat Rohingya yang dipenuhi dengan perniagaan mereka.

Dakwanya, warga asing ini juga pengotor terutama komuniti Rohingya yang memelihara ayam di dalam blok rumah sehingga tangga dipenuhi najis ayam.

“Keadaan ini buat kami tidak selesa, mereka pun jual ayam hidup di kedai bawah dan bawa merata-rata ayam itu, buat macam dekat negara sana sedangkan sini Malaysia.

“Mereka juga suka meludah merata-rata langsung tidak menjaga kebersihan dan keadaan sungguh meloyakan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk memberitahu, gejala sosial di kawasan ini juga boleh ‘tahan dahsyatnya.

Kejadian hamil luar nikah biasa berlaku di sini disebabkan remaja tempatan berkawan dengan mereka.

“Apabila ada kes mengandung dan dirujuk ke Hospital Ampang, mangsa  bawah umur dan jadilah kes polis,” luahnya.

Ujarnya, situasi itu membuatkan dia dan penduduk sekitar risau setiap hari terutama dari sudut pembesaran anak-anak mereka yang masih kecil di kawasan tersebut.

Wanita warga asing berlonggok ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pandan Mewah, Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 NOVEMBER 2024.

Seorang pekerja swasta turut mendakwa, dia pernah diberitahu oleh salah seorang warga asing bahawa Pandan Mewah seperti kampung mereka untuk melawat saudara-mara mereka.

“Sebelum ini, saya pernah tanya pelanggan warga Rohingya sebab nampak dia tinggal di Cheras Baru, katanya datang sini (Pandan Mewah) untuk balik kampung jumpa saudara di blok A5 dan A6.

“Saya juga pernah nampak, mereka yang baru tiba ke Malaysia  akan turun ke sini naik kereta ‘Grab’ bersama beg besar dan menyewa di sini sebelum berpindah ke lokasi lain.

“Kalau diperhatikan, lokasi ini menjadi tempat pertama mereka tinggal sebelum dapatkan pekerjaan atau berpindah, dan kehidupan mereka ibarat kutu di atas kepala yang mudah beranak,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka berharap pihak penguat kuasa terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menangani kebanjiran warga asing di kawasan Pandan Mewah.

Mereka percaya warga asing begitu berani menjadikan kawasan ini sebagai perkampungan mereka kerana kawasan ini umpama ‘zon selamat’ bagi mereka.

“Mana tidaknya, sudah banyak laporan dibuat, operasi serbuan dibuat namun tidak kesan langsung.

“Jadi kami tertanya-tanya, mana KDN, polis, imigresen dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, mahupun pemimpin yang sudah dipilih?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast