PASIR GUDANG – Gara-gara menegur seorang pemuda yang membuat bising dengan ekzos keretanya, seorang pesara tentera dipukul dengan kayu dalam kejadian di Taman Rinting di sini kelmarin.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid mendakwa, kejadian tersebut berlaku pukul 11.40 malam di kawasan perumahan berkenaan.
Menurut Hamid, dia menegur pemuda tersebut kerana ekzos keretanya berbunyi kuat.
Namun dia tidak menyangka pemuda berkenaan bertindak agresif menyerangnya menggunakan kayu selepas menegurnya kerana menimbulkan gangguan bunyi bising.
Jelasnya, teguran itu dibuat kerana perbuatan pemuda itu mengganggu ketenteraman ramai hingga tiada pilihan melainkan menegur jirannya berkenaan supaya menghentikan perbuatan itu.
“Lelaki itu tidak akur sebaliknya bertindak agresif apabila menolak saya dan mengamuk sambil memegang kayu sebelum menyatakan ‘kau jangan sibuk hal aku la’.
“Ia mengakibatkan perselisihan faham antara kami sebelum lelaki itu menghayun kayu ke arah kepala saya namun saya sempat elak dengan menggunakan tangan.
“Malangnya ia terkena pada lengan tangan kanan hingga mengakibatkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, lelaki berkenaan juga ugut mahu menyerangnya bersama-sama sekumpulan lelaki.
“Bimbang dengan keselamatan keluarga, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam semalam,” katanya.
Sementara itu, ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan yang dibuat mangsa.
Pada masa sama kata beliau, pihaknya terkesan dengan video kejadian tersebut yang tular hari ini dalam satu hantaran dalam akaun X @Cool_Wannabe82.
Beliau berkata, susulan itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan Masai pada pukul 4.10 petang.
Katanya, pihak polis turut merampas sebatang kayu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau berkaitan jenayah.
Tambah Mohd Sohaimi, kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumar sebarang aktiviti jenayah untuk disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Seri Alam menerusi talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422,” ujarnya.
Baru-baru ini tular hantaran dalam TikTok oleh seorang wanita dikenali sebagai Suhadah (@suhadah.99) berkongsi situasi cemas yang berlaku di hadapan rumahnya dipercayai sekitar Taman Rinting, Masai di sini.
Menerusi video perkongsian, kelihatan seorang lelaki sedang menghayun scota dan menimbulkan kekecohan di hadapan rumahnya.
Dakwanya, lelaki berusia 20-an itu mengamuk selepas ditegur oleh ayahnya kerana tindakannya membuat bising di kawasan perumahan yang didiaminya.- MalaysiaGazette