Md Fauzi Md Tamaji. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Mengapa Malaysia dituduh rasis hanya kerana papan tanda bahasa kebangsaan?,” soal seorang juruterbang komersial.

Mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh pelancong dari China seperti yang disampaikan oleh seorang menteri, Kapten M Fauzi Tamaji menyifatkan ia sebagai pelik.

Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun berulang-alik ke luar negara kerana tugasnya berkata, banyak negara lain seperti Perancis, Austria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan papan tanda berbahasa kebangsaan masing-masing.

“Sebagai pelancong, kita seharusnya menerima budaya dan bahasa negara yang kita lawati. Ini bukan isu besar. Menteri sepatutnya lebih bijak dan tidak memberikan alasan sempit bahawa pelancong China adalah kuasa beli utama. Bukan rakyat China sahaja yang melancong ke sini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Contoh cafe dalam pusat beli belah di Abu Dhabi

“Saya biasa terbang dan melancong ke Austria dan Perancis. Walaupun negara-negara ini menerima ramai pelancong China, papan tanda mereka tetap dalam bahasa tempatan.

“Malah, di Perancis, bahasa Inggeris juga kurang digunakan. Namun, pelancong dari China dan negara lain tetap menikmati perjalanan mereka dan membelanjakan wang mereka. Jadi, kenapa Malaysia perlu membuat isu?” katanya.

Kapten Fauzi yang juga kerap ke UAE menambah, di negara ini kebanyakannya papan tanda dalam bahasa Arab, namun pelancong tidak pernah menganggapnya sebagai isu rasis.

Contoh papan tanda makanan segera di UAE.
Photo kredit: Kapten M Fauzi

“Mengapa Malaysia dituduh rasis hanya kerana penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda? Jika benar Malaysia rasis, bagaimana pula Jemaah Menteri di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum?” soalnya.

Tegas Kapten Fauzi, sebagai Menteri Pelancongan, Tiong King Sing seharusnya memperkasakan budaya dan bahasa Malaysia supaya boleh menjadi tarikan pelancongan.

Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan hanya kerana ingin menarik pelancong dari satu negara tertentu.

“Kita perlu memperkasakan bahasa dan budaya kita. bahasa Melayu adalah identiti kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempertahankan identiti kita tanpa mengalah kepada permintaan tidak munasabah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here