KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui dia berat hati membuat keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut kerana mendapat sokongan pengurusan, pemain dan penyokong yang cukup luar biasa.

Namun beliau terpaksa memilih untuk melangkah keluar dan aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada Jumaat lalu menjadi perlawanan terakhirnya selaku ketua jurulatih skuad Sang Kenari.

“Berat untuk membuat keputusan namun saya memilih untuk tidak lagi bersama Kedah Darul Aman FC. Perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari menjadi perlawanan terakhir saya selaku ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC.

“Sudah tentu setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak namun saya percaya akan ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini. Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC.

“Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong hijau kuning. Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa,” kata dalam satu warkah buat Kedah di media sosial miliknya.

Nafuzi juga mengucapkan terima kasih kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kerana memberi peluang melaksanakan tugas memacu kelab yang penuh bersejarah ini.

“Kepada pemain, saya sangat berbangga dengan komitmen latihan di dalam padang sehingga ke perlawanan. Kerjasama yang ditunjukkan di setiap perlawanan sangat membanggakan. Tidak putus asa sehingga ke wisel penamat. Berjuanglah sejiwa murni dalam perlawanan akan datang.

“Buat penyokong yang sentiasa menyokong pasukan KDA FC ketika jatuh dan bangun. Tiada ayat dapat diungkapkan mengenai semangat penyokong. Terima kash kerana sentiasa menyokong. Anda adalah antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman. Teruskan berada di belakang pasukan.

“Akhir sekali, semoga pasukan Kedah Darul Aman FC menjadi kelab yang berjaya suatu hari nanti. Kedah tetap berada dalam hati saya selama – lamanya. Terima kasih semua! Pulun Kedah Pulun!”

Ahad lalu, Nafuzi sah meletakkan jawatan dan permohonannya itu telah diterima oleh pihak pengurusan kelab tersebut.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin berkata, permohonan Nafuzi telah diperhalusi dengan mendalam oleh pihak pemilik, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kelab.

Menurutnya, sejak menyertai pasukan pada Disember 2022, Nafuzi telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi serta komitmen yang jitu.

Media melaporkan khabar angin melibatkan pengendali tersebut dikatakan bakal menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia  sebagai pengendali skuad muda negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here