ISKANDAR PUTERI – Silibus Sekolah Rintis Bangsa Johor tidak akan mengganggu dasar pendidikan negara sedia ada yang digariskan Kementerian Pendidikan (KPM).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, sekolah terbabit hanya memberi penekanan dan nilai tambah terhadap empat elemen.
“Iaitu pemantapan Bahasa Inggeris di samping memartabatkan Bahasa Melayu serta peningkatan kemahiran dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Ini termasuk pentaksiran yang setara bagi tiga mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris serta melanjutkan pembelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
“Dalam masa sama silibus pendidikan sedia ada kita kekalkan cuma nilai tambah kita berikan kepada pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor. Yang penting ia tidak mengganggu gugat sistem pendidikan dan dasar pendidikan negara yang sedia ada sekarang.
“Contoh silibus biasa Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris kita gunakan, tetapi kita akan guna teknologi terkini dalam bidang pendidikan seperti Strategies For English Learning and Reading (STELLAR),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Menjawab soalan N Saraswati (BN-Kemelah) mengenai peranan sekolah itu untuk memastikan kualiti pendidikan yang konsisten dalam kalangan guru dan pengurusan sekolah, beliau berkata, sebagai permulaan 40 guru Bahasa Inggeris dari empat Sekolah Rintis Bangsa Johor sudah dihantar ke di Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura (NIE) pada tahun ini.
Aznan (BN-Tanjung Surat) berkata, langkah berkenaan sebagai persediaan sebelum sekolah berkenaan beroperasi pada tahun depan.
“Ia sebagai persediaan awal, selain memberi penerangan terhadap ibu dan bapa sekolah terlibat tentang hasrat kerajaan negeri.
“Seramai 40 guru Bahasa Inggeris itu untuk meningkatkan tahap penguasaan dan skil mereka ke gred yang lebih baik dengan menghantar guru terbabit ke bengkel berkaitan di NIE,” katanya.
Beliau memberitahu, dua buah sekolah kebangsaan (SK) dan dua buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor bermula tahun depan.
Jelasnya, ini membabitkan seramai 2,352 pelajar di SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang (407 pelajar), SK Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang (532 pelajar), SMK Tasek Utara, Johor Bahru (611 pelajar) dan SK Tasek Utara, Johor Bahru (802 pelajar).
Katanya, keempat-empat sekolah terbabit dipilih berdasarkan empat kreteria utama antaranya sekolah yang mempunyai satu sesi persekolahan bagi memaksimumkan tumpuan terhadap pembangunan pelajar, selain kepimpinan sekolah yang proaktif dan komited bagi menjamin keberhasilan program yang dirancang.
Sekolah yang dipilih juga katanya, merupakan sekolah dengan pencapaian sederhana supaya memberi peluang untuk mengangkat prestasi sekolah terbabit ke tahap yang lebih tinggi.
“Dalam konteks hubungan sekolah rendah dan menengah, SK yang terpilih berperanan sebagai ‘feeder’ manakala SMK pula sebagai ‘acceptor’ bagi memastikan kesinambungan pembangunan pelajar dari peringkat awal hingga ke peringkat lebih tinggi dapat direalisasikan dengan baik.
“Kita bermula dengan empat sekolah sekiranya berkesan kita akan pergi ke sekolah lain. Tempoh tiga tahun diberikan, bagi menilai kita memerlukan tempoh panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette