Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan gambar hasil rampasan barang-barang yang digunakan sindiket dan empat individu yang berjaya ditahan di sekitar Lembah Klang.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menumpaskan sindiket ‘Fake Base Tranceiver Station (BTS)’ yang menyebarkan SMS palsu dalam satu operasi bersepadu di Lembah Klang, Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis melakukan siasatan setelah menerima laporan daripada seorang lelaki, 30, yang didakwa menjadi mangsa penipuan SMS palsu tersebut.

“Mangsa menerima SMS daripada pihak Maxis yang menyatakan dia telah mengumpul ‘Consumption Points 3022’ yang boleh digunakan untuk menebus barang.

“Lelaki itu kemudian diberikan pautan dan diminta mengisikan beberapa butiran penting termasuklah maklumat perbankan miliknya dan nombor OTP (One Time Password) yang diterimanya,” katanya dalam sidang media kejayaan kes jenayah komersial dan perkembangan sama kes jenayah mingguan di Menara KPJ, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ramli Mohamed memaklumkan, setelah mengisi maklumat yang diperlukan, pengadu menyedari berlaku pengurangan wang sebanyak RM1,500.72 dari akaun bank miliknya.

Susulan itu, hasiil risikan di Lembah Klang telah menahan empat individu lelaki warga tempatan berusia 39 hingga 46 tahun yang berperanan sebagai penyelia, pembantu penyelia dan pemandu serta operator untuk peranti
‘fake BTS’.

“Mereka menerima gaji RM300 sehari dan perlu membawa kenderaan yang dibekalkan sindiket bersama peranti ‘fake BTS’ di kawasan tumpuan ramai.

“Di kawasan orang ramai, mereka kemudiannya akan menghidupkan peranti yang kemudiannya secara automatik menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon individu yang berada di sekitar kawasan tersebut.

“SMS yang dihantar akan mengelirukan mangsa kerana ianya seperti SMS tulen dari penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sah,” ujarnya.

Kesemua suspek kini direman sehingga 25 November 2024.

Menurut Datuk Seri Ramli Mohamed, hasil operasi telah merampas tiga unit bateri, dua unit penyongsang kuasa, dua unit GSM Module, dua unit modem wifi, tiga unit antena transceiver, dua unit kipas meja, dua unit kawalan jauh kereta, dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV), sembilan unit telefon bimbit, enam unit wayar penyambung, satu pemutar skru, dan satu unit kotak kayu.

Hasil siasatan lanjut juga mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 12 kes lain melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM116,271.54.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here