GEORGE TOWN – Sebuah syarikat pembinaan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan gagal melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi projek pembinaan bernilai lebih RM20 juta.
Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Azlan Basri terhadap syarikat Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd selepas didapati bersalah melanggar Seksyen 29(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Syarikat berkenaan mengaku salah sebagai penghuni suatu tempat kerja yang gagal mengambil kerja seorang yang kompeten untuk bertindak sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja, bagi kerja pengendalian bangunan dengan jumlah harga kontrak projek melebihi RM20 juta.
“Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika pemeriksaan mengejut di tapak pembinaan di Pulau Andaman yang dilakukan pegawai JKKP Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.
“Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP, Ts. Mohd Al Fadil Mohd Salleh, dengan bantuan Ir. Ts. Shahrul Azhar Mustaffa manakala siasatan pula diketuai Syuhaidi Hassan,” katanya.
Sehubungan itu, JKKP berharap supaya kes ini dapat memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya pematuhan kepada undang-undang perlu sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette