KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh menyalurkan subsidi kepada pemilik kediaman berstrata bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti penyelenggaraan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pemberian subsidi kepada pemilik kediaman berstrata mustahil direalisasikan kerana kini terdapat lebih 24,385 skim bangunan berstrata di bawah kerajaan dengan 2.83 juta buah kediaman.
“Jika semua rumah berstrata bergantung kepada subsidi kerajaan, maka ia tidak mungkin (dapat dilakukan), berdasarkan kepada kekangan kewangan. Mana-mana kerajaan pun di dunia ini (tidak dapat melaksanakannya).
“Bagaimanapun, Kerajaan Madani sentiasa menyantuni rakyat dan sebab itu dalam tempoh dua tahun sahaja, hampir RM300 juta diperuntukan untuk membaiki, menyelenggara dan membaik pulih mana-mana bangunan yang didapati usang ataupun daif,” katanya ketika menjawab Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kor Ming (Teluk Intan) menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan sistem subsidi kepada bangunan kos rendah dan kaedah menyelesaikan masalah rumah berstrata. – MalaysiaGazette