Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

MUAR – Dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar lebih 11 kilogram ganja di Kampung Temiang, Bukit Treh di sini minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Faidz Husaini, 40, yang juga mekanik dan Ridhwan Zulhilmi Hasan, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun sebutan kes untuk Shwe Aung, 32, ditetapkan pada 2 Januari ini untuk kehadiran jurubahasa Myanmar kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Faidz dan Ridhwan Zulhilmi kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar ganja dengan anggaran berat 11,497 gram di Kampung Temiang Bukit Treh di sini pukul 10.30 malam, 16 November lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika tidak dihukum mati serta sebatan tidak lebih 15 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqillah Ahmad Rofaie manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here