KUALA LUMPUR – UMNO Kedah bimbang akan sebuah lagi cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen yang cuba dimainkan oleh Menteri Besar apabila mendakwa ada pihak yang sedang merancang mahu mensabotaj dan mengagalkan mana-mana pihak yang mahu melabur di negeri Kedah.
Ketua Penerangan UMNO Negeri dan Jurucakap Khas Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya mencabar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan siapakah dalang di sebalik gerakan itu.
“UMNO Kedah melihat ini adalah satu tuduhan tanpa asas semata-mata mahu mencipta persepsi dan sentimen murahan bagi mengaburi kegagalan kerajaan negeri mengekalkan pengumuman pelaburan yang sedia gagal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah berpandangan kerajaan negeri tidak boleh semata-mata ditadbir melalui kaedah perang persepsi dan sentimen semata-mata tetapi seharusnya realistik dan praktikal demi kelangsungan rakyat.
“UMNO Kedah yakin, rakyat semakin menyedari strategi politik berselindung dan mengaburi yang sering diamalkan oleh Menteri Besar. Cuma UMNO Kedah sangat bimbang politik sedemikian rupa tidak lain dan tidak bukan akan hanya memberi kesan kepada rakyat dan negeri Kedah itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette