Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Cadangan melanjutkan waktu kerja penjawat awam disifatkan tidak wajar dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik kualiti kehidupan pekerja, kata sebuah kesatuan sekerja.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, mereka mahu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam menggugurkan pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu dengan segera.

Tegasnya, pelanjutan waktu bekerja adalah bertentangan dengan trend global yang mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam seminggu seperti yang termaktub dalam Konvensyen ILO 47 dan ILO 116.

“UNI-MLC bimbang perkembangan terbaharu ini akan membawa kesan buruk atau impak ke atas pekerja, sekali gus dikhuatiri tidak akan membawa manfaat yang disasarkan oleh Kerajaan.

“Lebih-lebih lagi ketika pekerja- pekerja Malaysia turut berhadapan dengan isu tekanan (Mental Stress) dan kualiti kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shafie, banyak negara telah membawa pendekatan yang lebih fleksibel dan harmoni dalam usaha menambah baik hak pekerja masing-masing.

Ini termasuk mengurangkan tempoh waktu bekerja dan tempoh berada di pejabat.

Dengan itu katanya, sebarang langkah untuk memanjangkan waktu kerja terutama di sektor kesihatan tidak wajar dipertimbangkan apatah lagi dilaksanakan.

“Oleh itu, UNI-MLC memohon campur tangan Steven Sim, Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang dijadual Jumaat ini untuk mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu menggugurkan keputusan lanjutan tempoh waktu kerja.

“Sebaliknya Kerajaan harus mengkaji langkah-langkah lain termasuk menambah jumlah kakitangan awam sekiranya berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja dalam menyediakan mutu perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here