PASIR GUDANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan kepada waris pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan akibat dilanggar pemandu mabuk 16 November lalu.
Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, lima anak pasangan berkenaan iaitu Nur Aleesha Aindah,17, Mohammad Ikmal Danish,15, Nur Puteri Shahkira,14, Nur Aleesha Syahmira,12 dan Nur Aisyah Humairah,3, layak menerima faedah berkenaan.
“Mangsa, Mohamad Redzwan Mohd Rudi, 37, yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat konsesi sejak Ogos lalu memenuhi syarat kelayakan sebagai pencarum untuk waris membuat tuntutan.
‘’Faedah penakat yang diterima anak mangsa atas nama bapa mereka ini ialah sebanyak RM857.85.
‘’Bagaimanapun, caruman bagi ibu mereka, Linda Mohd A Aziz, 35, yang lima bulan bekerja sebagai pelayan restoran, tidak memenuhi syarat kelayakan.
“Siasatan sedang dilakukan terhadap majikan,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan faedah berkenaan kepada waris mangsa, di Flat Taman Cendana di sini semalam.
Beliau dalam pada itu mengingatkan para majikan supaya membuat caruman terhadap pekerja mereka termasuk yang bekerja secara sambilan, kontrak atau harian.
Katanya, pekerja mereka termasuk kategori tersebut perlu didaftarkan dan dicarum dalam tempoh 30 hari mula bekerja.
Pasangan suami isteri itu maut selepas motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang dirempuh Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak dipetik berkata, kejadian pada pukul 4 pagi itu menyebabkan pasangan terbabit mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
Lelaki berusia 34 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol itu ditahan dan kes disiasat Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.- MalaysiaGazette