Ah Soon ketika menjawab soalan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 16 daripada 17 kawasan di Johor yang sebelum ini dikategorikan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan dadah sudah mencapai status hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kawasan berkenaan kini menjadi Kawasan Berisiko Rendah (KBR).

Beliau memberitahu, kawasan yang sudah menjadi KBR yang selamat untuk masyarakat ialah Mukim Pulai, Mukim Sungai Tiram, Mukim Bandar Johor Bahru, Mukim Kulai dan Mukim Mersing.

“Ini termasuk Mukim Simpang Kiri, Mukim Simpang Kanan, Mukim Parit Sulong, Mukim Api-api, Mukim Pontian, Mukim Ayer Baloi, Mukim Jabi, Mukim Pogoh dan Mukim Sungai Segamat.

“Begitu juga Mukim Parit Bakar dan Mukim Bandar Muar manakala di Mukim Plentong yang masih berstatus kuning, segala usaha dan strategi terus digerakkan dengan lebih gigih lagi untuk menjadikan KBT bertukar menjadi KBR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Tian Soon (BN-Yong Peng) berkata demikian menjawab soalan Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) mengenai perancangan kerajaan Johor menjadi negeri maju menjelang 2030 dan usaha atau tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu dadah.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima dalam menangani masalah dadah berjumlah RM1.13 juta bagi tahun ini termasuk program di kawasan KBT.

Impak pelaksanaan program di KBT ujarnya, meningkatkan faktor pelindung dan mengurangkan risiko dalam komuniti serta meningkatkan perkhidmatan rawatan pemulihan dalam komuniti.

“Ini juga meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti setempat serta agensi pelaksana sebagai perancang, penggerak dan pemilikhakkan dalam setiap program dan aktiviti pendidikan pencegahan dadah serta tahap kesediaan komuniti meningkat dalam usaha membantu usaha kerajaan memerangi ancaman dadah,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga peruntukan kerajaan Pusat berjumlah RM275,362 yang diberikan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor untuk melaksanakan program-program pendidikan pencegahan dadah.

“Peruntukan ini digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti program pendidikan pencegahan dadah yang meliputi empat kumpulan sasar iaitu Institusi Keluarga Bebas Dadah, Institusi Pendidikan Bebas Dadah, Komuniti Bebas Dadah dan juga Tempat Kerja Bebas Dadah.

“Ini merupakan strategi mencapai Dadah Terkawal 2025. Fokus isu dalam program penghijauan KBT penagihan dadah adalah menangani penyalahgunaan dadah dan bahan serta pelencongan sosial dilaksanakan secara kolaboratif bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here