Onn hafiz ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua sektor akan menjadi menjadi fokus utama dalam Zon Kewangan Khas (SFZ) di membabitkan Pulau Satu dan kawasan daratan di Forest City, di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sektor pertama membabitkan Sektor Perkhidmatan Perbankan dan Kewangan di Pulau Satu.

Sementara Sektor Perkhidmatan Logistik, Pusat Perkhidmatan Global dan Perkhidmatan Pemindahan pula katanya ditawarkan di kawasan daratan.

“Sektor satu menyediakan kemudahan perbankan dan memenuhi keperluan perniagaan serta komuniti komersial seperti pelaburan, insurans dan penggunaan Financial Technology (FinTech), Regulation Technology (RegTech) juga Insurance Technology (Insurtech) untuk Perbankan Konvensional dan Islam serta Pejabat Keluarga (Family Office) yang pertama di Malaysia.

“Juga mempunyai Family Office menawarkan kadar cukai istimewa dan memiliki potensi besar menarik Family Office seperti Singapura dan Hong Kong kerana ciri-ciri serupa yang ditawarkan.

“Kehadiran ‘Family Office’ akan mencipta pekerjaan dalam sektor kewangan, guaman, hartanah, perancangan harta pusaka dan perkhidmatan sokongan lain. Rakyat tempatan mendapat peluang untuk bekerja sebagai penasihat kewangan, akauntan, atau pengurus pelaburan.

“Kedua-dua sektor ini juga akan disokong melalui penyediaan perkhidmatan sokongan atau ‘Mid-Office Support Services’ dan ‘Back-Office Support Services’.

“Antaranya sokongan pelanggan dan pembangunan produk; sokongan teknologi dan IT; pemasaran; kewangan dan perakaunan; sumber manusia dan bakat serta undang-undang dan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata demikian ketika menjawab soalan Fauziah Misri (BN-Penawar) dan Chiong Sen Sern (PKR-Bukit Batu) mengenai status dan perkembangan SFZ di Forest City setakat ini.

Menyentuh mengenai insentif, Onn Hafiz memberitahu, Pulau Satu dan kawasan daratan mempunyai insentif bersyarat yang mensasarkan sektor-sektor tertentu.

Katanya, terdapat sembilan insentif bagi Pulau Satu, manakala dua insentif bagi kawasan daratan.

“Beberapa institusi kewangan tempatan dan antarabangsa serta pemain industri logistik telah menunjukkan minat untuk melabur.

“Antara institusi kewangan termasuklah Maybank, Public Bank Berhad, AmBank Group, Hong Leong Bank, CIMB, Bank of China, United Overseas Bank (UOB), manakala industri logistik terdiri daripada Tiong Nam Logistics Holdings Berhad.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan menyokong penuh pelaksanaan SFZ ini kerana ia bakal memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi Johor tetapi juga manfaat buat rakyat melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan SFZ di Forest City dalam usaha merancak pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor.

Beliau dilaporkan berkata, kos untuk menjalankan perniagaan di zon kewangan khas itu adalah lebih berpatutan dan akan dibantu beberapa insentif yang disediakan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here