AMPANG – Enam Flat Pandan Mewah, di Ampang Jaya yang menjadi ‘lubuk penempatan warga asing’ digempur dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen petang tadi.
Dalam operasi secara besar -besaran bermula jam 6 petang itu, seramai 119 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan dijalankan susulan laporan media berhubung kebanjiran warga asing dengan enam blok diperiksa.
“Kita telah memeriksa seramai 400 warga asing yang terdiri daripada usia dua tahun hingga 55 tahun namun hanya 119 warga asing ditahn.
“Ia melibatkan warga Myanmar iaitu 71 lelaki dan 18 perempuan, Bangladesh (14 lelaki), Nepal (8 lelaki), India (4 lelaki) dan Indonesia (3 lelaki dan seorang perempuan).
“Mereka ditahan ini berumur 18 hingga 50 tahun dan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, ketika operasi dijalankan, ada segelintir warga asing cuba menyorokkan diri namun berjaya ditahan anggota bertugas yang melakukan pemeriksaan di kawasan itu.
Khairul Aminus juga memaklumkan, pihaknya telah melakukan risikan di lokasi itu kurang dari sebulan berdasarkan maklumat yang diterima.
Siasatan kes terbabit akan dijalankan Kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, lebih 400 anggota dan pegawai JIM Selangor bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat.
Sementara itu, pegawai penguatkuasa MPAJ, Muhammad Farhan Hakim Mohd Ropi berkata, pihaknya telah menyita dua premis kedai runcit.
“Kita telah memeriksa lima premis kedai runcit di sini namun hanya dua sahaja di sita disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.
“MPAJ juga tidak menolak kemungkinan ada pemilik premis di sini menyewakan kedai mereka sebagai ‘ali baba’ pada warga asing.
“Bagaimanapun kita akan meneruskan pemantauan dan operasi secara berterusan di kawasan ini yang menjadi ‘hotspot’ warga asing” ujarnya.
MalaysiaGazette yang mengikuti operasi itu sehingga jam 9 malam mendapati, ia masih giat dijalankan dengan mengepung kesemua laluan keluar masuk ke kawasan flat yang berada di belakang Hospital Ampang. – MalaysiaGazette