JOHOR BAHRU – Seorang wanita berputih mata apabila kerugian RM150,000 selepas terpedaya dengan pinjaman tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 38 tahun mahu membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan.
Beliau memberitahu, pihak polis menerima laporan kejadian tersebut pada 20 November lalu daripada mangsa yang mendakwa diperdaya sindiket pinjaman dalam talian yang tidak wujud.
“Kejadian bermula pada 11 November lalu, apabila mangsa terlihat iklan pinjaman wang dalam Facebook yang menggunakan nama dan logo sebuah bank tempatan.
“Mangsa yang berminat memulakan perniagaan sendiri telah berhubung dengan wakil pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan lebih lanjut mengenai syarat-syarat pinjaman.
“Mangsa dijanjikan proses yang mudah dan kelulusan segera dengan syarat mangsa membuat beberapa bayaran pendahuluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat percaya dengan tawaran pinjaman itu, mangsa bersetuju membuat pinjaman RM300,000 dan mengikut arahan suspek dengan membuat 18 kali transaksi pembayaran pada 16 November lalu hingga 20 November lalu.
Jelasnya, transaksi itu dibuat dalam 14 akaun bank berbeza keseluruhannya berjumlah RM156,468.
Bagaimanapun, katanya, wang pinjaman yang dijanjikan masih tidak diterima dan suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.
“Mangsa yang mula berasa curiga telah membuat semakan di bank berkenaan dan dimaklumkan bahawa pinjaman terbabit adalah tidak wujud,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pinjaman secara dalam talian yang menjanjikan proses yang mudah dan cepat.
“Buat semakan terlebih dahulu dengan agensi terbabit sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette