IBTP UMS menandatangani LoI bersama Universiti Chiang Mai (CMU), Thailand.

KOTA KINABALU – Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan endokrinologi hidupan liar dengan memperluaskan Kerjasama antarabangsa bersama Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Chiang Mai (CMU), Thailand.

Kerjasama antara dua institusi ini telah dimeterai melalui Surat Niat (LoI) baru-baru ini di Fakulti Perubatan Veterinar, CMU.

Antara bentuk kerjasama yang akan dijalankan termasuklah pembangunan kapasiti kakitangan Makmal Endokrinologi IBTP, pertukaran pelajar dan penganjuran seminar antarabangsa.

Menurut Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, perkongsian strategik ini akan memberikan impak besar dalam bidang fisiologi pemuliharaan hidupan liar di Borneo.

“Dengan menggabungkan kepakaran IBTP dalam penyelidikan biodiversiti tropika dan pengalaman kakitangan CMU dalam sains veterinar dan kesihatan hidupan liar, IBTP akan lebih berupaya untuk menyumbang dalam usaha memulihara biodiversiti di Sabah.

“Perkongsian ini adalah bukti komitmen kami untuk meningkatkan usaha pemuliharaan biodiversiti melalui kerjasama antarabangsa,” katanya.

Fiffy turut memaklumkan, International Sympositerum on Conservation Biology and Biodiversity yang telah diadakan julung kalinya pada 22 November lalu akan diadakan sebagai acara tahunan yang diadakan secara bergilir antara UMS dan CMU.

“Simposium sulung tahun ini yang berlangsung di CMU berfungsi sebagai platform penting untuk bertukar idea, berkongsi penemuan penyelidikan, dan membina jaringan bagi menangani cabaran pemuliharaan global.

“Manakala simposium kedua dijadualkan berlangsung di UMS pada tahun 2025, akan menjadi peluang untuk menonjolkan keunikan kepelbagaian biodiversiti Sabah dan usaha
pemuliharaannya,” katanya.

Usaha kolaborasi berkaitan penyelidikan hidupan liar ini katanya, disokong menerusi pelancaran Makmal Endokrinologi Hidupan Liar pertama di Borneo pada bulan Jun 2023 hasil kerjasama IBTP dengan Smitsonian Conservation Biology Institute (SCBI)

“Kewujudan makmal ini telah membuka peluang kepada para penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk lebih memahami kesan perubahan habitat, iklim dan pengurusan hidupan liar terhadap fisiologi haiwan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, projek pertama yang kini dijalankan oleh Makmal Endokrinologi Hidupan Liar adalah untuk melihat kesan kaedah pengurusan terhadap tahap hormon kortisol gajah Borneo di ladang kelapa sawit di Sabah.

Projek tersebut ditaja oleh dana dalaman UMS, Skim Lantikan Pensyarah Baru (SLPB) yang diketuai oleh pensyarah kanan IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here