KUALA LUMPUR – Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), menggesa semua pemilik tangki septik untuk menjalankan pengosongan tangki septik di premis masing-masing, sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali bagi memastikan tangki berfungsi dengan baik, agar tidak berlaku sebarang pencemaran alam sekitar.
Di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan utama yang digunapakai bagi menyalurkan air kumbahan iaitu sistem perkhidmatan pembetungan bersambung iaitu air sisa kumbahan dari premis akan disalurkan terus ke loji rawatan kumbahan IWK melalui paip pembetungan bawah tanah.
Satu lagi sistem pembetungan tradisional seperti tangki septik, tandas palong atau curah.
Tangki septik adalah sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk merawat air kumbahan dan enapcemar secara sementara.
Enapcemar yang memasuki tangki akan mendap ke dasar tangki dan air yang bersih dipermukaan akan mengalir keluar ke longkang atau parit dan seterusnya ke sungai atau laut.
Ini adalah proses biologi semula jadi yang lama kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan.
Penyelenggaraan dan pengosongan tangki septik akan memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan baik, selain memastikan sisa kumbahan dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit bawaan air.
Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Pauzi Mohamed, menjelaskan tangki septik yang standard lazimnya berada di dalam kawasan premis dan mempunyai dua tiga hingga empat penutup logam berbentuk segi empat tepat.
“Tangki septik ini hanya boleh menyediakan sebahagian rawatan sahaja terhadap air sisa kumbahan yang mengalir ke dalamnya. Bayangkan apakah akan berlaku jika tangki septik tidak pernah dikosongkan atau diselenggara?
“Kegagalan untuk mengosongkan tangki septik secara berkala boleh mencemarkan alam sekitar dan seterusnya, mengancam kesihatan awam melalui pelepasan terus enapcemar setelah tangki penuh,” katanya di program Kempen Ops Sedut IWK di Parlimen Kepong Sabtu lepas.
Program dirasmikan oleh Penasihat Gabungan Persatuan Penduduk Kepong Kuala Lumpur Ong Siang Liang.
Ia hasil kerjasama IWK bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Gabungan Persatuan Penduduk Kepong Kuala Lumpur (GPPKKL), Persatuan Kebajikan Dan Pembangunan Kepong Baru (PKPKB) dan Persatuan Penjaja Pasar Pagi Kepong Baru Kawasan C.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Tengah SPAN, Ahmad Hafizullah Amir dan Timbalan Ketua Balai Polis Kepong, S.M Abdul Rahim Tahir.
Mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.
Pada masa yang sama, di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], kegagalan untuk mengosongkan tangki septik boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50, 000.
“Diharapkan dengan maklumat yang diterima sepanjang program ini dapat memberi manfaat kepada mereka serta membuka mata tentang pentingnya pengosongan tangki septik ini,” jelas Ketua Wilayah Tengah, Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar, Yusri Mohamed Yusop.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan komitmen IWK untuk terus mendekati masyarakat setempat dalam usaha mendidik orang awam mengenai kepentingan pengosongan tangki septik melalui sesi libat urus bersama komuniti. – MalaysiaGazette