Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kuala Langat, Banting, hari ini.

BANTING – Pembukaan pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kuala Langat, di sini, sejak seminggu lalu dijangka dapat mengurangkan kesesakan di cawangan agensi penguatkuasaan itu khususnya di Shah Alam dan Kelana Jaya.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, tempoh pengeluaran bagi pembaharuan pasport perjalanan antarabangsa dapat disingkatkan kepada kira-kira sejam meskipun dibuat tanpa sebarang temujanji.

“Di sini kami menawarkan pengeluaran pasport Malaysia-Antarabangsa dan selepas ini untuk pengeluaran visa dan permit pembantu rumah.

“Selepas ini orang ramai tidak perlu tertumpu kepada kawasan-kawasan padat contohnya Shah Alam dan Kelana Jaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Cawangan JIM Kuala Langat, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pembukaan kaunter JIM itu juga mampu memenuhi keperluan kira-kira 300,000 penduduk di Kuala Langat khususnya bagi keperluan dokumentasi pekerja asing dalam sektor perladangan.

“Dengan jumlah penduduk di Kuala Langat kira-kira 300,000 orang, kita menjangkakan banyak penggunaan permohonan permit, visa dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Sektor peladangan di sini terdapat banyak ladang sawit dan dalam masa sama kita dapat memendekkan tempoh permohonan pasport, kalau kita dapat lihat di sini dalam tempoh sejam dan lebih pasport boleh dapat,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha beramah mesra dengan orang ramai ketika meninjau Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kuala Langat, Banting, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pembukaan pejabat JIM Kuala Langat dapat menaikkan imej pasukan badan penguatkuasaan itu daripada segi kecekapan pengeluaran dokumen berkaitan dengan lebih teratur.

“Pembukaan pejabat pasport ini membuktikan kesungguhan dan komitmen JIM untuk memberikan perkhidmatan kaunter berkualiti serta mengutamakan keselesaan kepada pelanggan yang hadir berurusan.

“Di samping itu, ia dapat menangani isu kesesakan di pejabat pengeluar pasport JIM yang sering disuarakan rakyat.

“Sepanjang tahun lalu, pejabat lama JIM Kuala Langat telah mengeluarkan 16,615 pasport dengan purata 1,384 pasport dikeluarkan dalam sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here