ISKANDAR PUTERI – Johor memperoleh potensi pelaburan bernilai lebih AS$190 juta (RM850 juta) menerusi beberapa syarikat terkemuka dari Korea Selatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, potensi tersebut diperoleh hasil lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan delegasi Johor ke negara itu baru-baru ini.
“Delegasi telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan, termasuk Hanwha Solutions Corporation, SPC Group, LG Chems dan CJ CheilJedang Group.
“Syarikat-syarikat tersebut menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor-sektor seperti tenaga bersih, bahan kimia, dan industri makanan halal.
“Sebagai contoh, Hanwha Solutions Corporation terkenal dengan inovasi dalam sektor tenaga bersih dan bahan kimia, manakala SPC Group merupakan syarikat makanan global yang menerajui pasaran dengan jenama terkenal seperti Paris Baguette,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Ting Han (BN-Paloh) berkata demikian menjawab soalan Amira Aisya Abd Aziz (Muda-Puteri Wangsa) yang meminta kerajaan negeri menjelaskan hasil lawatan kerja ke negara itu serta anggaran pelaburan yang akan masuk ke Johor serta industri dan lokasi yang menjadi tumpuan bagi pelaburan.
Ting Han berkata, antara lokasi yang bakal jadi tumpuan bagi pelaburan adalah Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat dan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC),
Katanya, dua Lokasi tersebut sangat strategik serta siap dengan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan sokongan untuk industri kimia dan petrokimia.
Selain itu ujarnya, kawasan perindustrian seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC), Iskandar Halal Park, Eco Business Park, Nusajaya Tech Park, AME I Park dan Senai Airport City yang menyediakan infrastruktur asas yang baik turut menjadi lokasi tumpuan.
“Kerajaan negeri yakin hasil lawatan kerja ini akan memberikan kesan positif yang besar kepada Johor, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga melalui pembangunan industri strategik yang mampan.
“Dengan penyusunan ekosistem pelaburan yang lebih teratur, Johor akan terus kekal sebagai salah satu negeri yang paling berdaya saing di Malaysia dan rantau ini,” katanya.- MalaysiaGazette