KUALA LUMPUR – Lima pegawai kadet (PK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kes penganiayaan terhadap kadet lain dibatalkan pelantikannya dan diberhentikan kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka juga mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
“Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, keputusan itu diambil ekoran Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang semalam meluluskan syor Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) terhadap lima orang pegawai kadet terbabit dalam tiga kes penganiayaan terhadap pegawai kadet lain.
Ia melibatkan tiga kes berasingan dan ang pertama terhadap PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash melibatkan pelakunya, PK Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.
Kes penganiayaan itu melibatkan tekapan seterika ke dada mangsa oleh pelaku telah dikesan jurulatih bertugas semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu.
Susulan itu, satu siasatan dijalankan dan mendapati PK Amirul Iskandar, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.
Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM44,600.20.
Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November lalu dan prosiding masih berjalan.
Kes kedua, melibatkan penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy dan melalui maklumat awal yang diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah di UPNM.
Pihak atasan telah mengarahkan untuk satu siasatan segera dijalankan melibatkan PK Izzat Izuddin Mohammad Arif – pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (Pengambilan 2021).
Beliau didapati telah mengenakan Hukuman Pembetulan (corrective punishment) terhadap mangsa, bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.
Pelaku kedua,PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan
sebagaimana yang diarahkan oleh Pelaku 1, PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Keselamatan Komputer) (Pengambilan 2023) telah mengenakan Hukuman Pembetulan (Corrective Punishment) terhadap mangsa bertentangan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK dengan melakukan tindakan salah laku secara fizikal serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi.
Pelaku 3, PK Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.
Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.
Bagi kes ketiga melibatkan penganiayaan terhadap PK Yeong Kian Rui pula melibatkan pelaku, PK Ammar Hafiy Muhammad Habib dalam kes penganiayaan yang melibatkan kecederaan fizikal telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Siasatan lanjut mendapati Ammar Hafiy, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal yang maneaba kecederaan soft tissue injury over lower back secondary to trauma kepada mangsa.
Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM32,115.95.
“Saya ingin menegaskan Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambahbaik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.
“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras,” kata Mohamed Khaled.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan berharap agar keputusan itu menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan (military value) yang sepatutnya diamalkan. – MalaysiaGazette