KUALA LUMPUR – Seramai 29,572 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) serta dihantar pulang ke negara asal, jelas Kementerian Dalam Negeri.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun ini.
“Tindakan pemeriksaan ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pelawat yang tiba adalah pelawat tulen.
“Pemeriksaan secara rambang kepada pengembara juga dibuat di kawasan pengambilan bagasi (selepas kaunter pemeriksaan imigresen balai ketibaan) bagi memastikan cap atau endosmen yang diberikan oleh pegawai kepada pengembara berkenaan dibuat dengan wajar,” katanya dalam jawapan bertulis semalam.
Saifuddin menjawab pertanyaan lisan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin mengetahui mekanisme diambil bagi mengenal pasti warga asing yang tinggal lebih masa secara tidak sah dan apakah tindakan penguatkuasaan yang telah diambil bagi tempoh Januari 2024 hingga September 2024.
Jelas Saifuddin lagi, tindakan itu sebagai semak dan imbang kepada pemeriksaan imigresen yang telah dibuat dan juga memastikan hanya pengembara yang telah diberikan endosmen yang sah sahaja boleh masuk ke negara ini.
Antaranya pelaksanaan yang teah diambil adalah Perolehan Sistem Saringan Awal Penumpang (Advance Passenger Screening System – APS) dan mewajibkan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
“Selain itu, operasi penguatkuasaan secara berterusan dilaksanakan terutamanya di 224 lokasi hotspot untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024 iaitu sehingga 21 November 2024, Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan sebanyak 18,163 operasi penguatkuasaan dengan tangkapan seramai 41,906 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). – MalaysiaGazette