KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua yang berada di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Nasihat beliau, sekiranya penduduk terjejas diminta untuk berpindah oleh pihak berkuasa, patuhilah arahan tersebut tanpa berlengah.
“Tindakan ini adalah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan memudahkan operasi menyelamat sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Saya juga ingin mengingatkan agar menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diakses, mematikan peralatan elektrik dengan segera untuk mengelakkan sebarang risiko bahaya dan sentiasa memantau kawasan-kawasan berisiko untuk keselamatan bersama.
“Saya memahami betapa sukarnya keadaan ini, terutama bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah dan harta benda. Namun, keselamatan harus menjadi keutamaan.
“Kerajaan melalui pelbagai Agensi komited untuk terus berusaha memberikan bantuan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, katanya, sehingga jam 6 petang tadi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan keadaan banjir di negara ini semakin membimbangkan dengan bilangan negeri yang terjejas telah meningkat kepada enam buah negeri, melibatkan seramai 18,751 orang yang kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Negeri Kelantan mencatat jumlah tertinggi dengan 101 PPS beroperasi, menempatkan seramai 15,992 orang daripada 4,824 keluarga yang terjejas akibat banjir di negeri tersebut. – MalaysiaGazette