Kamarul Bahrain mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan, lima tahun lalu.

Kamarul Bahrain Arshad, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan di atas nama Ibrapati Enterprise yang beliau ketahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara bulan November 2019 hingga Februari 2020, di sekitar bandar Muar.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Pengawal keselamatan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam K Bharathi.

Pihak pendakwaan menawarkan kepada Mahkamah jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Baharathi memohon jaminan yang rendah terhadap anak guamnya yang mempunyai tanggungan seorang isteri dan seorang anak autisme berusia 14 tahun selain menanggung ibunya yang berusia 75 tahun dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Tarikh 19 Disember ditetapkan sebagai sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here