Raven ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Penjawat awam Johor diminta memakai baju kurung dan baju Melayu teluk belanga bersama Kain Benang Johor sebagai baju kerja pada setiap Jumaat bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, pembaharuan tersebut bertujuan mempromosikan Kain Benang Johor yang merupakan hasil kraf negeri kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Pemakaian oleh pegawai kerajaan merupakan satu strategi promosi untuk memperkenalkan produk Kain Benang Johor. Produk kraf tangan berkenaan kini semakin dikenali dan diminati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Raven (BN-Tenggaroh) berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai langkah kerajaan dalam mempromosikan hasil kraf tangan Johor agar menjadi daya tarikan pelancongan negeri.

Raven Kumar berkata, selain itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan menawarkan bidang tenunan dalam program pendidikan Perintis Seni Johor bermula tahun depan sebagai usaha mencari bakat dan tenaga mahir dalam bidang itu.

Program itu katanya, bakal dilaksanakan selama tiga bulan atau 12 minggu berdasarkan modul disediakan jabatan dalam bentuk latihan asas kepada pengenalan dan penghasilan produk tenunan berkaitan Kain Benang Johor.

“Sebagai permulaan, program ini menyasarkan 20 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang berminat dalam bidang kraf tangan. Melalui inisiatif ini, kita dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Johor dan meningkatkan penghasilan produk kraf negeri bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026.

“YWJ tidak hanya tumpu kepada latihan jangka masa pendek ini, tetapi juga dikembangkan lagi dengan program pengembangan kerjaya melalui kolaborasi bersama Institut Kraf Negara untuk melahirkan tenaga kerja pakar dalam bidang tenunan selain melahirkan adiguru kraf pada masa depan,” katanya.

Raven Kumar berkata, sejak 2018 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 873 helai Kain Benang Johor dihasilkan di Galeri Tenun Johor yang terletak di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

“Galeri Tenun Johor kelolaan YWJ mempamerkan dan menghasilkan produk Kain Benang Johor, iaitu satu daripada produk kraf tangan beridentitikan Johor. Terdapat lapan penenun menghasilkan produk Kain Benang Johor di galeri yang dirasmikan pada 2018. Galeri ini telah menerima 14,660 pengunjung setakat bulan lepas,” katanya.

Menurut beliau, bersempena dengan Tahun Melawat Johor, YWJ merancang untuk mengadakan peragaan fesyen bagi produk Kain Benang Johor menerusi kerjasama dengan pereka fesyen terkenal.

“Peragaan ini tidak hanya terhad pada pemakaian tetapi juga ia akan dihasilkan dalam pelbagai produk, seperti pemakaian samping, baju tradisional Johor, aksesori wanita dan lelaki, kusyen serta perabot,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here