KUANTAN – Seorang pesara terpaksa berputih mata kerugian RM577,000 duit simpanannya setelah terpedaya dalam pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Facebook.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 56 tahun telah menyertai satu Skim Pelaburan Saham IPO (Initial Public Offering) yang dijanjikan keuntungan lumayan melalui laman sosial itu pada awal Oktober lepas.
“Mangsa kemudian telah diberi pautan untuk mengisi maklumat peribadi dan telah membuat sebanyak 15 transaksi pembelian saham melalui aplikasi tersebut dalam tempoh 8 Oktober sehingga 21 Oktober,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Yahaya, mangsa telah diberitahu mendapat keuntungan sebanyak RM 7,772,858.60 hasil pelaburan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula menyedari ditipu setelah mendapati hasil keuntungan pelaburan tidak dapat dikeluarkan dan aplikasi pelaburan terbabit juga telah dipadam.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan,” katanya lagi.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette