Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar bercakap pada sidang media mengenai hari penamaan calon bagi PRK N29 DUN Mahkota di Pusat Penamaan Calon Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai diculik seorang lelaki warganegara China di Kuantan, Pahang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada bapa mangsa yang merupakan warganegara China berusia 48 tahun mengenai anaknya tidak hadir ke sekolah di Singapura kelmarin dan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali.

“Hasil semakan awal mendapati mangsa telah dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura pada kelmarin.

“Melalui risikan dijalankan semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di Kuantan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, dalam serbuan tersebut suspek warga asing berusia 22 tahun itu ditahan di lokasi yang sama mangsa diselamatkan.

Menurutnya, pelbagai barang kes seperti telefon bimbit, pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan semasa kejadian dirampas untuk siasatan lanjut.

Kumar memberitahu, mangsa akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) iaitu amang fizikal ke atas kanak-kanak.

Selain itu, kes juga disiasat bawah Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu tanpa kebenaran atau alasan sah menyorokkan seorang kanak-kanak dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menculik daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek dibenarkan Mahkamah Majistret selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Disember ini,” katanya.

Tambah Kumar, motif kejadian masih disiasat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Polis tambahnya, mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk konsisten menyalurkan sebarang maklumat jenayah kebalai polis berhampiran dan talian hotline 019-2792095 atau bilik gerakan IPK Johor 07-2212999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here