Mohd Hairi (kiri) dan Tian Soon meninjau keadaan kolam renang di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, di sini, yang dicemari bakteria escherichia coli (e-coli) ditutup pada Julai lalu akan dibuka semula 1 Januari 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, proses akhir pembersihan dan kerja naik taraf sedang giat dilakukan pihak pengurusan pusat itu yang juga anak syarikat Johor Corporation (JCorp), Damansara Assets Sdn Bhd.

Beliau bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon membuat tinjauan untuk mengetahui kandungan air serta fasilitinya.

“Pihak Damansara Assets Sdn Bhd hari ini telah beri penerangan dan mencadangkan supaya 1 Januari 2025 untuk pusat ini dibuka semula.

“Mereka minta untuk beri mereka menyelesaikan beberapa lagi masalah teknikal.

“Semua kerja pembersihan dan naik taraf ini membabitkan peruntukan RM1.3 juta dan saya harap ia dapat beri keselesaan kepada peminat sukan renang pada masa akan datang,” katanya yang ditemui ketika mengadakan tinjauan di pusat akuatik berkenaan di sini semalam.

Beliau berkata, pembukaan semula pusat akuatik itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat bagi penganjuran acara-acara sukan.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa. Untuk acara sukan, kita akan anjurkan berfasa.

“Ini adalah salah satu kolam renang di negeri ini yang bertaraf antarabangsa, jadi biarlah kita dahulukan soal kesihatan dan keselamatan orang awam,” katanya.

Sementara itu, Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menjalankan kajian sampel air dan kini disahkan tiada bakteria e-coli dikesan.

Beliau berkata, JKNJ akan menjalankan pemeriksaan berkala di pusat akuatik itu bagi memastikan kualiti air bebas dari sebarang pencemaran.

“Kita akan kerap mengambil sampel air dan hantar untuk ujian makmal. Ia akan dibuat secara berterusan dan mungkin secara mengejut, kerana kita nak pastikan pihak pengurusan sentiasa mengekalkan kualiti air setiap masa dan tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Ling turut berkata, JKNJ juga akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pusat akuatik itu dan akan memastikan pihak pengurusan mematuhi SOP yang akan ditetapkan.

Pada 1 Ogos lalu, Mohd Hairi dilaporkan berkata, Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin itu ditutup kepada umum hingga Januari tahun depan susulan kolam remangnya dicemari bakteria e-coli.

Pelbagai kerja baik pulih dilaksanakan di fasiliti sukan berkenaan, termasuk menukar jubin lantai kolam renang yang berkarat, sepanjang tempoh enam bulan penutupan itu.

Pada 27 Julai lalu, seramai 19 pelajar daripada 900 peserta dalam Kejohanan Akuatik MSSJ 2024, dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala termasuk muntah-muntah, demam serta kulit gatal dipercayai akibat pencemaran air dalam kolam renang dan kolam terjun pusat akuatik terbabit.

Sampel air yang diambil dari pusat akuatik itu disahkan mengandungi bakteria e-coli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here