KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sekali lagi meminta Perdana Menteri untuk mengantikan tempat Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dengan individu lain.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, King Sing tidak layak untuk jawatan itu selepas sekali lagi terlibat dalam kontroversi dan mencadangkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebagai penganti.
“Kamu yang keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman lepas tu nak salahkan orang lain yang perkauman pula. Tuduh saya memalukan parti saya apabila lawan apa yang kamu katakan?
“Hey menteri, kau tu yang memalukan negara jadi menteri pun masih tidak boleh faham sensitiviti rakyat Malaysia dan berbahasa Melayu dengan baik. Level apa menteri ni?”
“Saya mohon YAB PMX tukarlah menteri ni kepada orang yang jauh lebih layak, baik lagi ambil MP Jelutong jadi menteri perlanconganlah!” katanya dalam kenyataan.
Ini kali kedua Dr. Muhamad Akmal menyarankan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengantikan King Sing selepas membuat desakan sama pada Februari lalu.
Ini selepas tercetus isu hidangan bak kut teh yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara serta penurunan pangkat ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Ammar Abd Ghapar.
Dr. Muhamad Akmal membuat desakan tersebut selepas kenyataan terbaharu King Sing yang mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu untuk Melaka.
Dalam kenyataan, Dr. Muhamad Akmal menyenaraikan 11 polisi yang dibuat sepanjang tiga tahun memegang jawatan sebagai Exco Melaka.
Beliau mencabar King Sing untuk berdebat mengenai isu papan tanda sekiranya menteri itu masih tidak jelas kerja yang telah beliau laksanakan di Melaka.
“Ini antara yang saya senaraikan dahulu untuk menteri baca, kalau nak senaraikan semua takut menteri jadi pening, kalau nak tahu lebih lanjut, menteri boleh datang ke Melaka jumpa dengan saya atau pun jumpa dengan rakyat Melaka atau pun jika menteri terlalu malas, boleh sahaja tengok di media sosial apa yang telah saya lakukan sepanjang tiga tahun menjadi Exco.
“Kalau nak lebih baik, saya cabar menteri untuk kita berdebat secara terbuka tentang kenyataan menteri terhadap papan tanda boleh?” soal beliau.
Senarai tersebut antara lain menyebut Melaka menjadi negeri pertama mempunyai perkhidmatan close care to u yang mana perkhidmatan penjagaan luka dan tukar tiub makanan di rumah secara percuma untuk rakyat B40 yang terlantar sakit.-MalaysiaGazette