Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang melabelkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tempoh hari sebagai “menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang”.

Pengerusi, Sekretariat Belia Gerakan Pembela Ummah/ Pengerusi Gabungan NGO Belia Islam Malaysia, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, ia adalah tindakan yang rendah akal budi, biadab dan angkuh daripada seorang Menteri Madani hari ini.

“Hakikatnya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sendiri telah merosakkan imej Malaysia yang masyhur di mata dunia dengan keunikan serta kekuatan rakyat Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum/agama namun bersatu di atas bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Menurut beliau, King Sing sepatutnya bersama dengan aspirasi DBKL menggesa pengusaha-pengusaha dalam negara mengangkat bahasa Melayu sebagai nilai serta keunikan utama Malaysia di mata dunia ini demi meningkatkan kualiti kempen Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia.

Tegasnya, King Sing tidak boleh terus ‘bermusuh’ dengan pihak penguat kuasa dalam kalangan penjawat awam apabila gagal atau miskin idea dalam melaksanakan tugas beliau sebagai menteri.

Sikap ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika bagi seorang menteri.

Bahkan, dakwanya, pemikiran yang tidak matang, terkebelakang dan berlawan arus dengan semangat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan ini adalah ancaman besar buat negara.

Muhammad Faizzuddin menambah, sudah tiba masanya Menteri Wilayah Persekutuan mengusulkan kepada Ahli-Ahli Jemaah Menteri Malaysia agar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia disiasat, diambil tindakan sewajarnya, dan direhatkan daripada melaksanakan tugas-tugas beliau sebagai menteri penuh dalam negara ini.

“Kami juga menyeru Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia (sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan hari ini) menggunakan kedudukan, pengaruh, dan kuasa beliau untuk melakukan rundingan dengan parti-parti komponen Kerajaan Madani hari ini agar Datuk Seri Tiong King Sing digugurkan daripada menganggotai Ahli-Ahli Jemaah Menteri Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here