Anngota Angkatan Pertahanan Awam (APM) unit Rantau Panjang memindahkan mangsa banjir di Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan. Foto: APM Negeri Kelantan

PUTRAJAYA – Ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) menunjukkan bencana banjir terutama di negeri-negeri Pantai Timur dijangka lebih teruk ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jangkaan itu menunjukkan situasi lebih buruk berbanding ‘bah kuning’ pada tahun 2014 bakal berlaku.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kerajaan akan memantau rapat bencana itu berdasarkan pandangan daripada METMalaysia.

“Situasi yang akan berlaku berdasarkan kepada fokus dan METMalaysia merasa lebih positif sebenarnya dalam perkara ini.

“Setakat ini, Kelantan kawasan paling terjejas teruk melibatkan daerah jajahan Pasir Mas dan juga di Tanah Merah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memberi jaminan kerajaan telah bersedia lebih awal dan melakukan siap siaga termasuk mengaktifkan sistem amaran awal oleh METMalaysia.

Beliau berkata, semua pasukan keselamatan telah dipastikan lebih bersedia ketika ini bagi mengelak keadaan lebih teruk.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan bakal memburukkan situasi banjir apabila air sungai tidak dapat mengalir ke laut.

“Walaupun pada peringkat awal ini di Pahang dan Johor belum terjejas, tetapi kita jangkakan di awal Disember, Pahang dan Johor akan terjejas yang mana akan menerima luruan hujan.

“Air sungai juga akan melimpah daripada Tengganu ke Pahang dan sungai daripada Pahang juga akan melimpah ke Johor,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini, Ahmad Zahid memberitahu, seramai 45,606 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)ketika ini dengan tumpuan utama memantau bencana dan situasi semasa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Sehinggga kini katanya, seramai 82,794 pegawai dan anggota daripada lima agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Sebanyak 5,107 aset darat, air dan udara disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) selain sebanyak 30,260 jaket penyelamat turut tersedia bagi kegunaan penyelamatan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat selaku agensi peneraju kumpulan kerja kebajikan telah bersedia mengaktifkan 8,481 PPS di seluruh negara yang mampu menampung 2,158, 748 mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here